Wednesday 8 April 2015

SPAD WAJIBKAN BAS PASANG GPS TRACKER

SPAD wajibkan bas henti-henti dan ekspres pasang GPS TRACKER, ABS dan CCTV




KUALA LUMPUR, 27 September – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberi tumpuan lebih khusus kepada audit keselamatan terhadap pengendali bas henti-henti dan ekspres dalam usahanya untuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan.
Dalam kenyataan medianya hari ini, SPAD menjelaskan audit keselamatan berkenaan akan dilakukan berdasarkan pekeliling SPAD ICOP – Keselamatan Bil 6/2013 yang berkuatkuasa pada 20 Ogos 2013.
Menurut kenyataan itu lagi, pekeliling berkenaan amat penting sebagai makluman dan rujukan semua pengendali bas di kawasan tanah tinggi berhubung dengan pelaksanaan Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD-Keselamatan.
Antara keperluan yang terkandung di dalam pekeliling yang telah diwajibkan bagi kenderaan adalah seperti Pemasangan Global Positioning Satelite System (GPS), Anti-lock Braking System (ABS), CCTV kamera di ruang ‘dashboard’ atau ruang yang bersesuaian, sistem keselamatan brek seperti Engine Retarder/exhaust brake dan pematuhan peraturan keselamatan antarabangsa mengenai keselamatan super structure kenderaan (UNECE Rule 66/ADR.) serta tali pinggang keledar untuk semua kerusi penumpang (UNECE Rule 80).
Menurut kenyataan media itu lagi, di bawah SPAD ICOP-SHE yang telah berkuatkuasa pada 9 September 2013, pegawai keselamatan dan penyelia syarikat telah diwajibkan memantau pemandu dan kenderaan sebelum perjalanan dimulakan.
Langkah kawalan tambahan yang dikuatkuasakan oleh SPAD bertujuan untuk menangani kelemahan-kelemahan dari aspek keselamatan operasi di kalangan pengendali bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi.
Terdahulu, SPAD telahpun menubuhkan Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Bas-Genting yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nur Ismal Kamal. Penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah tindakan susulan daripada arahan Timbalan Perdana Menteri untuk menyiasat secara terperinci punca kemalangan bas yang berlaku di Genting pada 21 Ogos lalu.
Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Bas–Genting itu turut dianggotai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan juga agensi-agensi lain yang dikenalpasti oleh SPAD.
Antara fungsi utama jawatankuasa berkenaan ialah untuk menilai bukti-bukti dan laporan-laporan kemalangan yang telah dikemukakan oleh MIROS dan PDRM serta lain-lain agensi dan membuat cadangan kepada kerajaan bagi mencegah kejadian sedemikian daripada berulang.

No comments:

Post a Comment